TIPS: Didik Anak-anak Jadi Genius

Assalamualaikum,

Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua dan berada di dalam kesihatan yang baik.

Hari ni saya tertarik dengan sesuatu yang seorang sahabat saya hantar di dalam group Whatsapp. Jadi saya rasa sangat teruja untuk kongsikan dengan anda semua. Ia berkenaan dengan hubungan Al-Quran dan otak kita.


Eh?? Apa hubungannya?

TIPS MENDIDIK ANAK-ANAK GENIUS

Sebelum saya berkahwin lagi saya sering mendengar ramai orang menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok untuk menjadi hafiz/hafizah. Kalau tidak semua pun, salah seorang mesti dihantar ke sana.


Waktu itu, saya tidak berapa faham dan tidak ambil peduli sangat perkara ni. Maklumlah, kahwin pun belum, memang tak fikir lagilah mengenai anak.

Saban tahun, saya semakin kerap mendengar dan mengetahui ramai di antara rakan sepejabat yang menghantar anak mereka ke tahfiz sejak kecil. Saya ada bertanya kepada mereka, jika anak-anak dihantar ke tahfiz, macam mana perjalanan pembelajaran mereka seterusnya?

Kebanyakannya akan hantar anak-anak syurga tu masuk ke sekolah atau ambil SPM selepas menjadi hafiz Quran. Ada juga yang meneruskan pengajian di dalam bidang agama diperingkat yang lebih tinggi. Apa yang bestnya, selalunya mereka akan mendapat keputusan yang cemerlang!

Padahal yang sekolah akademik sejak kecil, macam kita ni lah kan... Tak semua sehebat tu...

APA YANG ISLAM AJAR SEJAK MULA?

Kalau kita lihat para ulama terdahulu, kita selalu baca kisah hebat mereka menghafal ratusan ribu hadith dan sebagainya.

Menjadi hafiz Al-Quran pada zaman ulama silam merupakan sesuatu yang terlampau biasa sehinggakan orang yang tidak hafiz Al-Quran pula dianggap sesuatu yang aneh dan aib.

Jadi saya terfikir, apa rahsia mereka?

Saya mulanya hanya berfikir bahawa asbab keberkatan mereka menjadi hafiz Al-Quranlah Allah bantu mereka walaupun dalam pelajaran akademik.

Rahsianya terletak kepada pembacaan Al-Quran itu sendiri.

Melazimi membaca Al-Quran dengan istiqamah akan "melajukan" otak kita.


Cuba kita amati pembacaan Al-Quran kita sehari-hari. Memang benar, otak kita perlu bertindak dengan pantas untuk mengawal seluruh aktiviti pembacaan Al-Quran yang lancar.

Sekiranya otak saya lambat berfungsi, maka pembacaan kita akan menjadi tergagap-gagap dan tersekat-sekat.

Patutlah bila saya ingat semula waktu saya belajar mengaji di ABIM waktu sekolah rendah dulu, ustaz dan ustazah sangat menekankan cara pembacaan yang betul. Siap dengan cara pernafasan lagi.

Selepas saya membaca perkongsian seorang sahabat seperti yang saya maklumkan tadi, saya rasa sangat takjub. Perkara yang saya belajar sejak kecil dan apa yang dihuraikan sangat bertepatan.

Sebenarnya, sel-sel otak kita akan jadi lebih berhubung dengan baik jika kita istiqomah dengan membaca Al-Quran.

BAGAIMANA IA BERLAKU?

Cuba kita fikirkan semula. Bila kita buka Al-Quran dan mula melihat ayat-ayat Al-Quran, kita akan buka mulut untuk membaca. Ketika itu otak kita dengan lajunya memproses data berkenaan Al-Quran itu, misalnya huruf apa yang terpapar, bunyinya macam mana, makhrajnya dimana, jika ia bersambung dengan huruf lain, bagaimana tajwidnya, harus dibaca panjang, pendek, jelas, dengung, isymam atau imalah dan sebagainya...


Apatah lagi ia perlu dibaca dari kanan ke kiri, berbeza dengan kebiasaan kita membaca dari kiri ke kanan.

Dalam masa yang sama, mulut kita perlu mula bergerak untuk bunyikan ia. Bermakna, otak kita perlu buat keputusan dengan segera bagaimanakah cara bacaannya!

Kita macam dah dapat tahu secara automatik apakah bacaan seterusnya walaupun kita tidak menghafal ayat-ayat suci Al-Quran tersebut. Ia akan buat kita membaca dengan lancar.

Berbeza dengan baca surat khabar atau buku dengan bahasa Melayu atau Inggeris, otak kita tak perlu susah-susah buat keputusan sebab hukum bunyinya tidak banyak berbanding membaca Al-Quran yang hukum bunyinya terlampau banyak (melainkan kita baca Al-Quran tanpa tajwid dan tanpa tartil).

Apa yang menariknya, bila mulut kita masih membaca perkataan Al-Quran yang pertama, mata kita sudah pun melihat kepada perkataan kedua dan mula memproses data sekali lagi secepat mungkin untuk pembacaan yang lancar.

Jadi ketika membaca Al-Quran, otak kita perlu bekerja dengan sangat laju. Data yang dihantar-diterima otak bergerak sepantas kilat untuk menghasil aktiviti bacaan di lidah, dan mata yang memandang kepada mushaf tersebut.

Jadi apabila seseorang itu membaca Al-Quran sambil melihat Al-Quran dengan lancar dan cantik lengkap dengan tajwid dan tartilnya, itu bermakna otaknya sedang bergerak dengan sangat laju.

Dan yang lebih menarik, bilamana Al-Quran dialunkan, tentu ianya bernada indah tanpa kita sedar. Padahal kalau kita baca buku selain quran, tak pulak jadi macam tu.

Jadi nada indah beralun yang keluar ketika quran dibaca tu menjadi terapi telinga yang sekaligus menghantar terapi tu ke otak dan merehatkan seluruh badan kita.

Jadi, walaupun otak bergerak laju semasa membaca quran, nada yang indah tu membawa kita ke situasi badan yang rileks dan tenang menyebabkan kita tidak penat.

Berbeza kalau kita gunakan otak untuk perkara lain, misalnya nak selesaikan soalan Add Math. Kadar tenaga otak yang digunakan sangat tinggi, dan lepas selesai dijawab, kita terasa sangat penat. Sedangkan badan kita tak bergerak pun. Penat tu berlaku sebab otak kita yang penat.

Pembacaan Al-Quran pula menggunakan otak kita dengan kuat, tetapi tidak memenatkan langsung! 

Dan apabila latihan otak ini dilakukan setiap hari, maka sel-sel otak kita akan berhubung dan menjadikan kita genius dengan izin Allah s.w.t.

APA TINDAKAN KITA?


Saya percaya, Al-Quran jugalah kunci kepada penyelesaian gejala sosial khususnya yang berlaku pada zaman ini. Ia dapat dikurangkan dengan perbanyakkan membaca Al-Quran. 

Didik anak-anak dengan Al-Quran. In shaa Allah menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan seterusnya menjadi pemimpin Islam di masa akan datang.


Oleh sebab itulah umat Islam terdahulu majoritinya genius walaupun kemudahan rujukan mereka terhad.


Marilah kita perkasakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran setiap hari bermula hari ini. Saya macam berminat pula nak belajar teknik membaca Al-Quran Al-Baghdadi. Ada tak di antara anda yang dah belajar teknik ni? Mungkin boleh juga terapkan dari awal untuk anak-anak kan?

Al-Quran sebagai pegangan yang utama, dan seterusnya kita usaha pula dari aspek pemakanan yang halal, berkhasiat dan cukup nutrisi.


Semoga perkongsian yang sedikit ini dapat memberi manfaat kepada anda diluar sana.

Jika anda rasa perkongsian kali ini bermanfaat kepada anda, kongsilah ia pula dengan orang lain. Ilmu adalah untuk dikongsi. Kita tidak tahu bilakah ajal kita. Semoga amalan-amalan kita diterima Allah s.w.t.

Anda boleh SHARE perkongsian saya ini. Semoga Allah merahmati anda.

Salam ukhuwah,
Affni Shahida Jamaludin


Sila 'Share' jika anda rasa entri ini bermanfaat

No comments :

Post a comment